RANTAU PANJANG: Hampir 90 peratus kawasan di Rantau Panjang, di sini, digenangi air susulan banjir gelombang ketiga, sejak tiga hari lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kelantan, Zainal@Jainal Madasin berkata, beberapa jalan utama untuk ke Rantau Panjang turut ditenggelami air dan hanya boleh dilalui kenderaan berat sahaja.
Bagaimanapun katanya, keadaan masih terkawal dengan kerjasama pihak bomba serta agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart).
“Kami juga difahamkan paras air Sungai Golok mencatat bacaan tertinggi berbanding tahun sebelum ini dengan bacaan paras air melebihi bacaan 11 meter (m). Kesannya, beberapa penempatan yang sebelum ini tidak menerima limpahan air turut terjejas.
“Bagaimanapun, hari ini (semalam) paras air dilihat sedikit menurun tetapi semua penduduk dinasihatkan untuk berjaga-jaga kerana bimbang jika hujan masih berlaku, selain paras Sungai Jenob di Tanah Merah juga masih di tahap amaran.
“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan bersiap siaga 24 jam membantu mangsa banjir bukan sahaja di jajahan Pasir Mas, malah beberapa daerah lain seperti Kuala Krai, Machang dan Gua Musang yang turut dilanda banjir,” katanya semalam.
Semalam, media melaporkan air Sungai Golok berada pada paras tertinggi dalam tempoh sembilan tahun dengan bacaan 11.03 m.Jurucakap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan berkata, paras air Sungai Golok setakat ini paling tinggi pernah direkodkan ialah 10.84 m pada 2014.
Sementara itu, Zainal turut menasihatkan mangsa banjir untuk meletakkan kenderaan di tempat selamat serta tidak menghalang laluan agensi keselamatan untuk menjalankan operasi menyelamat serta memindahkan mangsa banjir.
“Situasi ini turut mengganggu kerja anggota terutama ketika berlaku kecemasan, justeru saya berharap penduduk lebih peka dengan masalah ini dan memberi kerjasama kepada pasukan penyelamat.
| ARTIKEL BERKAITAN
- Banjir: Penduduk Rantau Panjang panik serbu kedai runcit
- Banjir: Ratusan terperangkap di ICQS Rantau Panjang
- BANJIR: TNB tutup beberapa pencawang elektrik di Rantau Panjang
- Banjir: Kompleks ICQS Rantau Panjang ditutup hari ini
- Hentikan tular Rantau Panjang lumpuh, banjir masih terkawal
- Kompleks ICQS Rantau Panjang ditutup akibat banjir