Tumpuan :
Nasional

9 sungai di Johor Bahru tercemar akibat aktiviti perindustrian, kumbahan

Oleh: Zahir Senapiah

JOHOR BAHRU: Sembilan daripada 25 sungai di Johor Bahru diklasifikasikan tercemar.

Antara sungai terbabit ialah Sungai Danga, Sungai Buluh, Sungai Tukang Batu, Sungai Kempas, Sungai Segget, Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, pencemaran sungai terbabit dikategorikan sebagai kelas ketiga dan keempat  dalam pengkelasan kualiti air sungai (IKA) .

Ia berpunca daripada pelbagai aktiviti termasuk aktiviti perindustrian dan loji kumbahan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, usaha memelihara sungai perlu digerakkan secara agresif di peringkat akar umbi dan tidak bergantung kepada tindakan dan penguatkuasaan semata-mata.

“Empat anak Sungai Tebrau iaitu Sungai Pandan, Sungai Sebulung, Sungai Sengkuang dan Sungai Tampoi mencatatkan kualiti yang membimbangkan dengan faktor pencemaran daripada kumbahan selain daripada industri, sektor komersial dan kerja tanah,” katanya selepas Program Ceriakan Sungai Tebrau, di sini hari ini.

Beliau amat berharap usaha menggerakkan sukarelawan bergotong-royong membersihkan sungai akan dilipat gandakan menjelang Sambutan
Hari Sungai Sedunia peringkat Kebangsaan 2024 pada September akan datang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini