BACHOK: Sembilan premis makanan membabitkan kedai makan dan restoran di daerah ini diarahkan tutup selama 14 hari.
Ini berikutan premis berkenaan tidak mencapai tahap kebersihan ditetapkan hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) melalui pemeriksaan terhadap 58 premis makanan di Bachok.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pemeriksaan dilaksanakan pada Selasa lalu membabitkan premis di sekitar Bandar Bachok, Jalan Melawi- Kandis, Jalan Bachok- Budi, Jalan Bachok- Beris Kubur Besar dan Jalan Jelawat- Gunong.
“Pemeriksaan membabitkan 71 kakitangan JKNK dan hasilnya sembilan premis diarah tutup selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.
“Jika tidak menurut arahan penutupan, peniaga boleh dikenakan tindakan penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan kepada media.
Zaini berkata, operasi berkenaan turut mengeluarkan sebanyak 137 notis tawaran kompaun terhadap pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 berjumlah RM48,000.
Katanya antara kesalahan paling banyak adalah 15 notis berhubung kesalahan di bawah Peraturan perkara 11(1) membenarkan pengendali makanan tidak menghadiri latihan pengendali makanan atau tidak membuat pemeriksaan perubatan dan mendapatkan vaksin bekerja, Perkara 32(1) kesalahan tidak mematuhi kehendak berhubung pemakaian dan Perkara 38 tidak memenuhi kehendak berhubung penyimpanan makanan.
Kesalahan lain adalah Peraturan Perkara 3(1) iaitu tidak mendaftar premis makanan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Perkara 30(1) tidak mematuhi kehendak yang berhubung dengan latihan pengendalian makanan, Perkara 31(1) tidak membuat pemeriksaan kesihatan pengendali makanan dan mendapatkan vaksin, Perkara 33(1) tidak memenuhi kehendak berhubung dengan amalan pengendalian makanan dan sebagainya.
Tujuan pemeriksaan adalah bagi memastikan premis makanan sentiasa dalam keadaan memuaskan serta makanan yang disediakan selamat untuk dimakan pengguna.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.