comscore
Tumpuan :
Nasional

9 penunggang motosikal buat aksi berbahaya ditahan polis

FOTO: PDRM

KUALA LUMPUR: Tindakan sembilan penunggang motosikal melakukan aksi berbahaya di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) mengundang padah apabila mereka ditahan polis, hari ini.

Kesemua lelaki berusia antara 16 hingga 24 tahun itu ditahan secara berasingan dalam Op Samseng Jalanan bermula kira-kira jam 2 pagi tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, operasi itu dijalankan pegawai dan anggota dari Bahagian Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman.

“Antara aksi berbahaya yang dilakukan merela adalah ‘superman’, bersaing sesama sendiri serta zig-zag.

“Polis turut menyita motosikal jenis Yamaha 135LC, Honda Wave dan Yamaha 125ZR yang digunakan penunggang berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Beliau berkata, semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai serta BSPT IPD Subang Jaya.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Selain itu, sebanyak 12 saman turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Justeru, penunggang motosikal diingatkan supaya mematuhi peraturan lalu lintas. Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan samseng jalanan.

“Operasi secara giat akan diteruskan bagi membendung kegiatan ini daripada terus berleluasa untuk menjamin ketenteraman awam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini