KINABATANGAN: Sembilan pekerja sebuah ladang kelapa sawit dikejarkan ke hospital selepas dipercayai terhidu racun serangga jenis Carbosulfan UN3077 ketika menjalankan aktiviti membaja pokok sawit di ladang seluas lapan hektar, kira-kira jam 9 pagi semalam.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 3.11 petang.
Sebuah pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan bersama Unit Pengurusan Bahan Berbahaya (Hazmat) segera dikerahkan ke lokasi kejadian, yang terletak 45 kilometer dari balai bomba.
Menurutnya, sebelum pasukan bomba tiba, semua mangsa telah dihantar oleh orang awam ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan susulan. Setakat ini, semua pekerja dilaporkan dalam keadaan stabil. Pasukan bomba bertindak menutup kawasan tersebut serta memasang pagar untuk memastikan tiada ancaman bahaya lain.
Bomba turut menasihati pemilik ladang supaya memastikan penggunaan pakaian perlindungan diri (PPE) yang sesuai semasa kerja-kerja meracun bagi mengelakkan kejadian serupa.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.40 petang setelah keadaan di lokasi dipastikan selamat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.