Tumpuan :
Gaya Hidup

9 lokasi sarapan menarik di Selangor

Setelah puas menikmati pelbagai juadah Hari Raya sepanjang bulan Syawal lalu, pasti anda merindui suasana bersarapan bersama keluarga dan rakan di hujung minggu dan musim cuti sekolah ini.

Berikut adalah 9 lokasi sarapan menarik di sekitar Selangor yang menawarkan menu enak yang boleh dikunjungi.

1. Kopitiam 143, Ampang Jaya

Terletak di Ampang, Kopitiam 143 menyajikan hidangan sarapan tradisional seperti telur separuh masak, mi wantan, roti bakar arang dan masakan Asia yang lazat.

Dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 12.30 tengah hari setiap hari, kecuali Selasa, pelanggan digalakkan untuk makan di kopitiam ini untuk mengekalkan kualiti dan rasa hidangan yang baru dimasak.

2. Kueh@Seksyen 13, Shah Alam

Mari menikmati kudap-kudapan di waktu pagi!

Kueh@Seksyen 13 menawarkan lebih 40 jenis kuih-muih tempatan yang dibuat setiap hari.

Ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 8 malam untuk sarapan pagi dan minuman petang.

Ada juga pilihan makanan berat seperti Laksa Utara, nasi lemak ayam berempah dan nasi tomato.

3. Atap by Pagi Coffee Co, Subang Jaya

Terletak di loteng tingkat dua di SS15 Subang Jaya, Atap by Pagi Coffee Co menawarkan hidangan istimewa, roti dengan keju bakar, kopi dan kombucha sebagai pilihan utama.

Dibuka dari jam 7.30 pagi hingga 6 petang, kafe ini sesuai untuk mereka mencari persekitaran yang estetik dan tenang untuk sarapan pagi atau ‘brunch’.

4. Kafe Auntie Foo, Kuala Selangor

Terletak di kaki Bukit Melawati berhampiran Taman Alam Kuala Selangor, kafe ini adalah tempat persinggahan sesuai selepas bersiar-siar di sekitar tempat bersejarah ini.

Kafe ini menawarkan pelbagai makanan ringan, snek dan minuman berserta buku untuk pelanggan.

Ia juga dikenali sebagai pusat sehenti untuk pelancong mendapatkan maklumat bagi lawatan di sekitar Kuala Selangor.

5. Pak Teh Kopitiam, Kuala Langat

Terletak hanya 35 minit dari Shah Alam, banglo satu tingkat ini memberikan suasana restoran tradisional Cina namun masih mempunyai cita rasa moden.

Kopitiam halal ini menawarkan pelbagai pilihan sarapan Asia yang ikonik seperti roti bakar kaya, telur separuh masak dan nasi lemak.

Dibuka setiap hari kecuali Selasa dari jam 7.30 pagi hingga 4.00 petang, kopitiam ini juga penuh dengan penunggang basikal sejak awal pagi!

6. Hay! Cafe, Sekinchan

Dikelilingi sawah padi Sekinchan yang menghijau, kafe bertemakan Inggeris ini menawarkan pelbagai hidangan yang enak, iaitu nasi lemak ayam rempah, pasta, kopi dan kek.

Pelanggan boleh memilih untuk menjamu selera dalam keselesaan kafe di bawah penghawa dingin atau menikmati sarapan sambil menikmati kehijauan sawah padi Sekinchan.

Kafe ini dibuka dari jam 9 pagi hingga 4.30 petang setiap hari.

7. Bahulu Classiq, Hulu Langat

Terletak di Hulu Langat, Bahulu Classiq mengimbau kenangan suasana bersarapan di Batu 18, Kampung Jawa.

Kedai kecil ini menawarkan menu yang enak seperti lontong, mi jawa dan mi rebus asli dan terletak berhadapan dengan Mata Air Panas Kampung Jawa, salah satu Geotapak Selangor di bawah Gombak-Hulu Langat Geopark.

Terkenal sebagai salah satu ‘port’ sarapan penunggang basikal, Bahulu Classiq adalah tempat sarapan yang mesti dikunjungi sambil menjelajah alam semulajadi di Daerah Hulu Langat.

8. Roti Leleh Batu Arang, Gombak

Penuh dengan sejarah dan nilai warisan, Batu Arang adalah sebuah pekan kecil di daerah Gombak.

Roti Canai Batu Arang adalah tempat Geo-Food yang terkenal untuk penunggang basikal yang melalui Gombak untuk menikmati Roti Lelehnya.

Roti Leleh Batu Arang dibuka setiap hari kecuali Selasa dan Jumaat dari jam 6 pagi hingga 1 tengah hari.

9. Warong Ketupat Yan Kampung Permatang, Kuala Selangor

Salah satu ‘port’ terbaik untuk sarapan di Kuala Selangor!

Warong Ketupat Yan di Kampung Permatang, menyajikan pelbagai jenis ketupat, sate, serunding dan kuih tempatan.

Dibuka setiap hari dari jam 7 pagi, anda mesti cuba sarapan di sini, terutamanya menu istimewa mereka, sate kerang.

Loading...
Terkini