comscore
Tumpuan :
Nasional

9 jam ‘tumpang nyawa’ di penutup tong ikan

BACHOK: Penutup tong ikan menjadi penyelamat seorang nelayan warganegara Thailand apabila bot dinaiki karam dalam kejadian di Perairan Kemasin, semalam.

Mangsa, Mayaki Mat Min, 36 berkata, dia berpaut pada penutup tong ikan selama 9 jam dalam keadaan ombak besar dan hujan.

Katanya, dia menaiki bot ke kawasan ikan di perairan itu kira-kira 16 batu nautika daripada jeti Pengkalan Petah, Bachok pada Khamis.

“Masa kejadian, saya lihat bot dimasuki air selepas dipukul ombak besar, saya sempat capai walkie-talkie dan beritahu rakan tolong,tolong,tolong kita (saya) nak selam sebelum bot karam dalam sekelip mata.

“Saya terus terjun ke laut dan sempat capai penutup tong ikan untuk ‘menumpang nyawa’,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Petah, di sini, hari ini.

Mayaki berkata, dia hanya memikirkan mati kerana turut dihempas ombak setinggi tiga meter.

“Saya terapung atas tong ikan bermula jam 8 pagi selepas bot tenggelam dipukul ombak dan hanya ditemui kira-kira jam 5 petang oleh bot lain sejauh lima batu nautika daripada lokasi bot karam,” katanya.

Tambahnya, itu adalah kali pertama dia berdepan kejadian ini selepas empat tahun bekerja sebagai penjaga unjang sejak empat tahun lalu.

Mayaki berkata, biasanya dia akan ke laut dan berada di sana selama sebulan untuk memasang lampu bagi memudahkan bot nelayan mencari ikan.

“Saya sempat berada sehari di lokasi ikan sebelum lihat cuaca buruk dan berhasrat ke pulau berhampiran iaitu Pulau Perhentian, namun dalam perjalanan bot karam,” katanya.

Mayaki berkata, bot yang dinaiki tenggelam sepenuhnya selain turut menenggelamkan segala dokumen termasuk passport, kelengkapan telekomunikasi bot dan pakaiannya.

Sementara itu, pemilik bot, Jargan Norzailan, 27 berkata, pihaknya kerugian lebih RM100,000 dalam kejadian.

Mangsa di bawa ke Jeti Datuk Aziz,Tok Bali, Pasir Puteh sebelum dihantar ke klinik berdekatan untuk rawatan.

“Laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Bachok dan kami bersyukur kerana pekerja kami selamat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superitendan Mohamad Ismail Jamaluddin mengesahkan kejadian.

Loading...
Terkini