comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 9 jam redah jalan balak untuk balik ke rumah 

GUA MUSANG: Sekumpulan guru dari Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Pos Balar di sini terpaksa melalui perjalanan selama hampir sembilan jam melalui jalan balak untuk pulang ke rumah mereka sempena cuti sekolah yang bermula hari ini.

Lebih menakutkan apabila nyawa dipertaruhkan saat kenderaan dinaiki mereka mengalami kerosakan dan masuk ke kawasan berlurah, manakala yang bermotosikal pula terpaksa mengusung motosikal mengharungi arus sungai separas paha kerana hujan lebat sejak dua hari lalu.

Menurut salah seorang daripada tiga guru wanita di SK Balar, Asmawati Ahmad, 43, kejadian semalam bukanlah pengalaman pertama beliau sepanjang lima tahun berkhidmat sebagai guru Bahasa Inggeris di sekolah terbabit.

“Sebelum ini kenderaan pacuan empat roda yang saya naiki pernah terbalik ketika menuruni bukit dan jalan licin menyebabkankenderaan hilang kawalan. Alhamdulillah semua selamat hanya mengalami kecederaan kecil.

“Semalam pula, kami sebanyak empat buah pacuan empat roda, bertolak keluar dari SK Balar pada jam 1 petang. Apabila sampai berhampiran Kampung Barong pacuan empat roda kami tergelincir ke lurah sebelah kanan dan tersangkut sebahagian kenderaan, sehingga menyebabkan ‘driveshaft’ patah.

“Kenderaan yang rosak terpaksa berjalan perlahan-lahan dan apabila tiba di jalan yang sangat becak, kami penumpang terpaksa berjalan kaki melalui kawasan berselut,” katanya.

Beliau berkata walaupun tersimpan rasa trauma, selepas melalui pengalaman antara hidup dan mati, namun semangat untuk mendidik anak-anak Orang Asli suku kaum Temiar itu semakin kuat.

Manakala bagi Mohd Halim Mohamad Zaid, 44, yang lebih dikenali Ben Zaid di laman Facebooknya berkata suka suka selama tiga tahun berkhidmat di sekolah pedalaman itu sudah menjadi asam garam kehidupannya yang mengajar subjek Bahasa Melayu, Pendidikan Muzik dan Pendidikan Seni Visual (PSV) di sekolah terbabit.

Menceritakan kembali pengalaman yang dilalui semalam bersama lebih 10 konvoi bermotosikal, beliau berkata semangat setia kawan antara mereka sangat kuat.

Katanya untuk mengharungi Sungai Echeng mereka terpaksa membantu antara satu sama lain mengusung motosikal mereka dan saat melucukan apabila terpaksa menonggengkan motorsikal untuk membuang air sungai.

“Semalam jalan sangat licin sebab hujan sudah bermula Rabu, namun ia tidak menjadi masalah kerana kami sudah biasa, menjadi rutin kami setiap minggu pulang ke rumah.

“Pengalaman kami jatuh tergolek, harung sungai dengan bawa motorsikal menjadi kenangan paling manis untuk kami dan cabaran besar untuk kembali ke pangkuan keluarga.

“Macam semalam beberapa situasi getir terpaksa kami lalui apabila motosikal terbalik ketika menuruni bukit dan ketika panjat bukit tayar berpusing tempat sama walaupun dah pakai tayar ‘Motorcross’.

Namun berbekalkan semangat setia kawan yang kuat semua dapat dilalui bersama,” katanya.

Bagi Guru Besar SK Balar, Mohd Hazlimi Mat Arriffen pula, sehingga kini terdapat 20 orang guru yang mengajar di sekolah SK Balar.

Beliau yang turut berhadapan detik cemas apabila pacuan empat roda yang dipandunya pernah terbalik ketika dalam perjalan pulang dari sekolah itu dalam kejadian pada Ogos lalu.

“Memang pelbagai cabaran kami guru dipedalaman lalui untuk keluar dan masuk ke sekolah untuk mengajar. Namun semua perasaan perlu diketepikan demi memberi ilmu kepada anak bangsa.

“Besar harapan kami agar usaha ini membuahkan hasil apabila melihat anak-anak didik kami terutama anak-anak Orang Asli ini berjaya,” katanya yang terpaksa memempuh perjalanan selama sembilan jam untuk sampai ke bandar ini dari SK Balar.

Loading...
Terkini