JOHOR BAHRU: Ada yang bersembunyi dalam loker dan ada yang lebih berani memanjat bumbung hingga enam meter hanya dengan memakai kain pelikat.
Itu sebahagian daripada cubaan beberapa pekerja asing dalam usaha mengelak daripada diberkas pegawai penguatkuasa Jabatan Imigresen (JIM) Johor dalam operasi khas sempena sambutan tahun baharu awal pagi tadi.
Pekerja asing itu bertindak demikian sebaik menyedari kehadiran pegawai Imigresen di sebuah tapak penempatan sementara pekerja asing di Masai, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
Mereka yang sedang nyenyak tidur tidak sempat menukar pakaian dan bertindak melarikan diri dengan memanjat bumbung hanya dengan memakai kain pelikat.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus dalam satu kenyataan berkata, lebih 450 pekerja warga asing di periksa dalam operasi yang disertai oleh lebih 30 pegawai penguatkuasa bermula jam 1 pagi tadi.
“Daripada jumlah itu, seramai 64 lelaki warga Bangladesh, 20 lelaki dan empat wanita warga Indonesia serta seorang lelaki warga Pakistan telah ditahan untuk siasatan lanjut selepas gagal menunjukkan dokumen diri.
“Mereka ditahan di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa sebarang dokumen yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.
Mereka turut disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(c) akta yang sama kerana memiliki pasport yang telah tamat tempoh.
Kesemua yang ditahan dibawa ke depoh tahanan imigresen Setia Tropika untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.