
KUALA LUMPUR: Sebanyak 881 perkahwinan bawah umur direkodkan sejak 2022 hingga tahun lalu, termasuk 518 membabitkan remaja perempuan, tegas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Kelantan merekodkan jumlah tertinggi dengan 193 perkahwinan, diikuti Selangor (133), Kedah (126), Terengganu (115), Johor (73), Sabah (63), Pahang (51), Perlis (39), Negeri Sembilan (38), Wilayah Persekutuan (27), Melaka (19) dan Pulau Pinang (4).
Bagi memastikan prosedur permohonan perkahwinan bawah umur dipatuhi, beliau berkata Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) khusus yang berkuat kuasa sejak 28 September 2018.
“SOP ini menekankan aspek kemaslahatan kanak-kanak yang ingin berkahwin, di mana Mahkamah Syariah perlu membuat penilaian teliti sebelum memberikan kebenaran,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen, hari ini.
Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut membentangkan model pengurusan perkahwinan bawah umur seperti yang dilaksanakan di Selangor dan Wilayah Persekutuan untuk diguna pakai di negeri lain.
Menurut Mohd Na’im, JAKIM juga bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam menjayakan Pelan Strategi Kebangsaan Bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur.
Di bawah Seksyen 8 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, umur minimum perkahwinan ditetapkan pada 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.