Tumpuan :
Nasional

88% jawatan jururawat telah diisi

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni

KUALA LUMPUR: Pengisian jawatan jururawat di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM) kini mencapai 88 peratus.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, sehingga kini sekurang-kurangnya 43,243 kekosongan bagi perjawatan itu perlu diisi bagi membantu melancarkan perkhidmatan kesihatan dalam negara.

“Berdasarkan rekod KKM seramai 582 jururawat telah meletak jawatan pada tahun 2024, antara alasan peletakan jawatan adalah bekerja di sektor swasta, isu penempatan, mengikut pasangan, waktu bekerja ‘shift’, masalah kesihatan pegawai dan berkaitan masalah peribadi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, kekosongan perjawatan jururawat bukan berlaku di fasiliti semasa, sebaliknya jumlah berkenaan diwujudkan bagi memenuhi keperluan fasiliti baharu.

Menurutnya KKM akan memulakan eksesais untuk memohon perjawatan berkenaan apabila pembangunan mana-mana projek mencapai tahap 85 peratus siap.

Ujarnya, kerajaan meneruskan pengambilan jururawat menerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi memastikan bilangannya di fasiliti kesihatan mencukupi.

Menurut beliau, dalam masa sama jumlah pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di institut latihan KKM ditingkatkan daripada 1,000 kepada 2,000 pelatih.

Manakala penawaran kepada jururawat masyarakat ke program peningkatan secara lantikan juga ditingkatkan daripada 800 ke 1,000 orang setahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini