comscore
Tumpuan :
Nasional

88 generator disedia TNB atasi gangguan elektrik di Kelantan

Kemungkinan besar dijangka akan berlaku sedikit gangguan bekalan di kawasan yang bervoltan rendah.-FOTO FB TNB CARELINE

KOTA BHARU: Berikutan penggunaan elektrik dijangka meningkat mendadak pada Aidilfitri ini, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan 88 generator set bantuan di Kelantan bagi mengatasi kemungkinan berlakunya gangguan bekalan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr Izani Husin berkata, TNB juga bersedia dengan tambahan tenaga kerja dari luar Kelantan iaitu sebanyak lebih 100 pasukan bagi membantu sebarang kemungkinan gangguan bekalan elektrik kepada rakyat negeri ini.

Katanya, ini berikutan penggunaan elektrik dijangka akan meningkat dengan mendadak pada musim perayaan susulan kepulangan perantau.

“Kemungkinan besar dijangka akan berlaku sedikit gangguan bekalan di kawasan yang bervoltan rendah.

“Saya mengambil maklum TNB juga bersedia dengan pasukan baik pulih yang bersiap siaga dalam ‘on call’ sepanjang sambutan Aidilfitri,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya di sini, malam tadi.

Dr Izani berkata, sebanyak 88 generator set bantuan disediakan untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan bekalan elektrik tidak cukup.

Menurutnya, pihak TNB sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat Kelantan.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak TNB atas usaha dan kerja kuat ini.

“Kepada pengguna jalan raya tidak mengira perantau atau tempatan, berhati-hatilah di jalan raya dan ingatlah orang yang tersayang. Semoga Aidilfitri tahun ini menjadi kenangan indah buat kita semua,” katanya.

Terdahulu, penduduk di beberapa kawasan di Kelantan merungut selepas bekalan elektrik terganggu disebabkan elektrik yang tidak mencukupi sejak beberapa hari lalu.

Loading...
Terkini