JOHOR BAHRU: Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) negeri Johor mengenal pasti 874 kawasan hotspot banjir di seluruh negeri ini.
Pengarah APM Johor, Penolong Pesuruhjaya Kamal Mokhtar berkata, seramai 1,264 anggota serta 72 unit bot dan 34 kenderaan darat sedia digerakkan untuk bantu penduduk terjejas.
“Sekiranya hujan lebat berterusan berlaku serentak dengan air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih ekstrem,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Kamal, APM Johor juga telah mengaktifkan Bilik Gerakan Banjir bermula 1 November lalu bagi melakukan pemantauan berkala di kawasan hotspot banjir.
Katanya APM Johor juga telah melaksanakan ‘Disaster Risk Reduction’ dalam usaha pengurangan risiko bencana merangkumi elemen latihan dan pelan Mitigasi.
“Melalui Program Local Engagement Approach for Disaster and Emergency Respone (LEADER) APM Johor telah melatih seramai 65,701 orang,” katanya.