comscore
Tumpuan :
Jenayah

8,678 PATI di Sabah telah dihantar pulang sepanjang tahun lalu

FOTO: Ihsan JIM Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah telah melaksanakan penghantaran pulang 8,678 pendatang tanpa izin ke negara asal mereka sepanjang tahun lalu.

Pengarahnya, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program penghantaran pulang ke negara asal berkenaan dilakukan secara konsisten sekurang-kurangnya dua kali sebulan.

“Proses penghantaran berkenaan dilaksanakan sebanyak 83 kali iaitu 41 kategori laut (laluan laut) dan 42 kategori udara. Untuk tahun ini kita telah menghantar pulang sebanyak 1,529 pendatang sehingga 25 Jan lepas,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata untuk operasi penguatkuasaan, JIM Sabah telah melaksanakan 1,463 operasi di seluruh Sabah dan sebanyak 30,918 orang telah diperiksa dan 4,108 ditahan serta 22 majikan didakwa atas pelbagai kesalahan.

Ditanya mengenai kesesakan di depoh tahanan Imigresen di Sabah, beliau berkata masalah berkenaan tidak lagi berlaku seperti ketika negara dilanda pandemik COVID-19.

Sementara itu, beliau  berkata bertindak atas maklumat risikan pihaknya telah menahan empat individu warga tempatan dan 11 warga asing dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran dalam operasi di Penampang dekat sini, Sabtu lalu.

“Empat individu berkenaan iaitu dua lelaki dan dua wanita berusia 25 hingga 56 tahun dan menjadi dalang membawa masuk warga asing dari Filipina ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata, ketika operasi itu pegawainya membuat pemeriksaan terhadap sebuah kenderaan dipandu dalang kes berkenaan bergerak dari Sandakan menuju Kota Kinabalu dan menemukan sembilan orang warga asing dalam kenderaan tersebut.

FOTO: Ihsan JIM Sabah

Katanya, sindiket membawa masuk warga  asing khususnya dari Filipina dengan bayaran sekitar RM1,500 hingga RM2,500 bagi seorang warga asing dengan modus operandi menggunakan Pulau Bakungan Besar, Filipina sebagai transit sebelum memasuki Sabah.

“Serbuan dibuat di sebuah rumah dan telah menahan tiga lagi dalang serta empat lagi warga asing yang turut terlibat dalam kes tersebut. Semua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu, Sabah untuk siasatan dan tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, dan lain-lain kesalahan di bawah Seksyen 55E iaitu membenarkan imigran untuk masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 26(A) Akta Anti pemerdangan orang, dan Anti Penyeludupan Migran 2007 iaitu penyeludupan imigran. – BERNAMA

| ARTIKEL BERKAITAN

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini