Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Sejumlah 85 peratus rakyat di negara ini tidak akan terkesan dengan kenaikan kadar tarif elektrik yang akan berkuat kuasa bermula Julai tahun ini.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kenaikan kadar tarif elektrik itu hanya melibatkan sektor industri mengikut kaedah Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) serta sebahagian golongan berpendapatan tinggi.
Katanya, kenaikan kadar tarif elektrik pada kadar kurang daripada 14 peratus itu disifatkan munasabah dalam usaha kerajaan menambah peruntukan bagi pembangunan seperti sekolah dan hospital.
“Kita kena terima kenyataan kenaikan tarif yang munasabah bagi industri dan golongan maha kaya ini. Saya sebut depan peniaga-peniaga semalam, kita tidak akan tolak ansur, kita terpaksa naikkan, tetapi tidak melibatkan 85 peratus rakyat, dengar betul-betu,” katanya dalam Sesi Pertanyaan Menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mendakwa kerajaan seperti ‘flip flop’ berhubung dasar kenaikan tarif elektrik sehingga mengelirukan banyak pihak.
Sementara itu, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan sudah menegur Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik sebelum ini yang dibuat secara umum.
“Saya katakan kita patut cerakinkan, apa dia untuk kategori yang dinaikkan. Jadi saya tegaskan semula kenaikan kadar elektrik untuk industri akan berlaku mengikut kaedah ICPT mulai Julai ini,” jelasnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.