Oleh: Hilmi Abdul Malik
PUTRAJAYA: Sebanyak 85 peratus penjawat awam telah menandatangani Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal berakhir pada 30 November ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, setakat ini Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan berusaha memastikan baki 15 peratus lagi penjawat awam untuk menandatangani sistem baharu berkenaan.
Ujarnya, wujud beberapa maklumat kurang tepat yang telah disebarkan di media sosial mengakibatkan masih ada yang belum menandatangani sistem berkenaan.
“Ikutlah portal JPA, ikutlah sesi libat urus oleh JPA, jangan dengar cakap kawan di media sosial, kadang-kadang mereka ini bukan kerja kerajaan jadi macam mana mereka nak faham.
“JPA akan bertungkus-lumus untuk buat penerangan sebab mungkin ramai yang masih tak berapa jelas (SSPA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Seminar Kenegaraan Malaysia Madani di sini, hari ini.
SSPA bakal menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang bakal berkuat kuasa 1 Disember ini.
JPA juga sebelum ini telah mewujudkan Pusat Panggilan Setempat SSPA bagi membantu penjawat awam mendapatkan penjelasan berkaitan sebarang persoalan atau kekeliruan mengenai sistem skim berkenaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan SSPA merupakan antara sistem terbaik yang pernah diperkenalkan kerajaan meskipun ia melibatkan implikasi kewangan yang tinggi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.