comscore
Tumpuan :
Nasional

85 individu dikenakan notis tak berpuasa

JAINJ mengeluarkan 85 notis terhadap individu yang ponteng puasa dengan makan, minum dan menghisap rokok secara terbuka di tempat awam dalam Ops Kesan di Johor Bahru semalam. -FOTO: JAINJ

JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengeluarkan 85 notis terhadap individu yang ponteng puasa dengan makan, minum dan menghisap rokok secara terbuka di tempat awam dalam Ops Kesan di bandar raya ini semalam.

Empat notis pula dikeluarkan kepada peniaga yang menjual makanan, minuman dan rokok kepada individu beragama Islam yang tidak berpuasa.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata operasi dilakukan kerana ada peniaga yang tidak mengikut peraturan dan tergamak tidak menghormati Ramadan dengan menjual makanan pada waktu pagi serta membenarkan pelanggan membeli secara terbuka.

Katanya, ada pelanggan yang memberikan alasan membeli juadah berbuka walaupun pada jam 10 pagi. Bila disergah ada yang memberi alasan beli teh ais untuk waktu berbuka sedangkan ketika itu baru jam 10 pagi.

“Tindakan diambil selepas menerima aduan ada peniaga menjual makanan dan minuman kepada orang Islam, biarpun Bahagian Penguatkuasaan JAINJ memberi nasihat,” katanya selepas menyertai operasi bersama 97 anggota penguat kuasa JAINJ di sekitar Taman Suria, Kawasan Perindustrian Larkin, Uda Business Centre dan pusat bandar raya Johor Bahru semalam.

Empat notis diberikan kepada peniaga mengikut Seksyen 15(a) Enakmen Jenayah Syariah 1997, kerana menjual barangan kepada orang Islam apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpama untuk dimakan, diminum dan dihisap swrta merta dalam waktu itu.

“Notis diberi kepada 85 individu mengikut Seksyen 15 (b) Enakmen Jenayah Syariah 1997 kerana makan, minum, menghisap rokok secara terbuka di tempat awam di bulan puasa,” katanya.

Loading...
Terkini