Tumpuan :
Nasional

8,000 penjawat awam Pahang akan terima ‘durian runtuh’

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN: Sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan Pahang kepada kira-kira 8,000 penjawat awam di negeri berkenaan, mereka akan menerima ‘durian runtuh’ menerusi Bantuan Khas Kewangan (BKK).

Jumlahnya akan diumumkan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, pada 29 November ini.

Tahun lalu penjawat awam yang menjadi tulang belakang kemajuan Pahang yang meraih hasil negeri mencapai sasaran RM1 bilion menerima BKK satu bulan setengah gaji atau dengan minimum RM2,000.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy ketika dihubungi, menegaskan kira-kira 8,000 penjawat awam pelbagai agensi di Pahang pasti menerima BBK yang disediakan kerajaan negeri setiap tahun.

“Tunggu pengumuman Belanjawan 2025 yang akan diumumkan tidak lama lagi, ketika itu saya akan umumkan BKK yang akan diberikan kepada penjawat awam Pahang.

“Banyak mana (jumlah BKK) tidak pasti lagi, tetapi yang pasti tetap ada… insya-Allah,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Tahun lalu jumlah keseluruhan peruntukan bagi bantuan berkenaan ialah berjumlah RM39.6 juta membabitkan kira-kira 8,000 penjawat awam Pahang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini