comscore
Tumpuan :
Nasional

800 anggota AFRS di 39 lapangan terbang kendalian Malaysia Airports

SEPANG: Hampir 800 anggota Perkhidmatan Bomba dan Menyelamat Lapangan Terbang (AFRS) Malaysia Airports bertugas di kesemua 39 lapangan terbang kendaliannya di seluruh negara setakat ini.

Ini termasuk 57 orang pegawai dan anggota baharu AFRS ditauliahkan bersempena Majlis Perbarisan Tamat Latihan Asas atau Passing Out Parade (POP) siri ke-11 pada pagi ini.

Malaysia Airports dalam satu kenyataan berkata, pentauliahan itu bertujuan memperkasakan lagi tahap kesiapsiagaan lapangan terbang menghadapi bencana udara.

“Penubuhan AFRS adalah bagi mematuhi keperluan Akta Penerbangan Awam 1969, Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam (Pengendalian Aerodrom) 2016, Civil Aviation Directive 14 Vol I selaras dengan Standard and Recommended Practices (SARPs) yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).

“Ia menetapkan kewujudan mandatori sumber manusia serta aset menyelamat dan memadam kebakaran di sesebuah kawasan aerodrom yang mengoperasi pesawat awam,” kata kenyataan berkenaan.

Pemeriksaan perbarisan disempurnakan oleh Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports, Mohd Arif Jaafar dan Pengurus Besar AFRS, Muhammad Hidayat Ismail.

Majlis itu menyaksikan seramai sembilan orang kadet ditauliahkan sebagai pegawai AFRS manakala seramai 48 orang rekrut lain ditauliahkan sebagai anggota AFRS.

Menurut kenyataan sama, secara asas, bagi melengkapkan semua pelatih dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman bertugas, kesemua pelatih pegawai dan anggota AFRS dikehendaki melalui latihan intensif dari sudut fizikal.

Pelatih turut diuji dari sudut intelektual sepanjang tempoh empat bulan setengah latihan setelah proses temuduga terbuka, saringan dan pemilihan dijalankan.

“Bagi tujuan tersebut, pelatih telah didedahkan kepada modul-modul seperti kawad kaki dan kebombaan, pembiasaan pesawat dan lapangan terbang, alat pernafasan dan peralatan perlindungan diri serta komunikasi kecemasan.

“Pelatih juga didedahkan kepada modul memadam kebakaran pesawat dan bangunan, penyelamatan dan pengurusan mangsa, pengoperasian jentera bomba, keselamatan kebakaran bangunan, pengendalian bahan merbahaya (HAZMAT) serta pelan kecemasan aerodrom,” tambah kenyataan itu.

Loading...
Terkini