Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: 80 tan sampah disasarkan sepanjang program KK Cleanup Day 1.0 yang diadakan di seluruh Bandaraya Kota Kinabalu, di sini, hari ini.
Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, pembersihan turut membabitkan perairan laut dan pulau sekitarnya termasuk Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar.
“Hari ini memang satu hari sahaja tapi kita memang ada aktiviti berterusan untuk persekitaran Bandaraya ini, kami jangka 80 tan sampah hari ini termasuk di Bandaraya dan juga laut Pulau Gaya,” katanya selepas melancarkan program itu di Segama Waterfront di sini, hari ini.
Ujarnya, kebersihan bandaraya ini sering menjadi tumpuan awam terutamanya semasa musim tengkujuh.
Justeru bagi meningkatkan kesedaran, pihaknya menerusi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan terus menjalankan aktiviti seumpama itu membabitkan penduduk setempat dan kerjasama pelbagai pihak.
Sementara itu, tinjauan mendapati dalam tempoh kurang 30 minit selepas acara itu bermula, tiga buah bot sudah kembali ke tanah besar dengan sampah sarap yang dikutip dari pulau-pulau di perairan sekitar daerah itu.
Dalam perkembangan lain, turut dilancarkan bot pengutip sampah yang boleh memuatkan lima tan sampah bagi satu-satu masa pengoperasian di sekitar perairan bandaraya itu.
Jelas Sabin, kebanyakan sampah yang terdapat di perairan Kota Kinabalu berasal dari bandar itu sendiri iaitu pulau-pulau berhampiran serta sungai-sungai seperti Darau, Likas, Inanam, Kalansanan dan Sembulan.
“Kita telahpun meminta pihak yang mengendalikan bot ini untuk ditambah pada tahun ini dan pada masa akan datang sebab kawasan laut kita amat luas sekarang ada satu sebab baru mula satu Januari lalu.
“Kita berharap setiap tahun kalau bolehlah di peringkat awal dapat menambah yang besar ini satu ada dua yang kecil mungkin dua atau tiga lagi bergantung kepada kemampuan,” katanya.
Tambahnya, inovasi itu berpotensi disesuaikan untuk menggunakan tenaga solar pada masa depan dan ia dilihat lebih cekap daripada kaedah pembersihan manual.
Ketika ditanya mengenai pendekatan DBKK terhadap pengurusan sisa, Sabin berkata bahawa bandar itu terus menggalakkan pengasingan, kitar semula dan kitar semula sisa.
“Dengan mengasingkan sampah, pengurusan sisa menjadi lebih mudah dan lebih murah, walaupun beberapa syarikat telah mencadangkan untuk menukar sampah kepada tenaga, masih belum ada sebarang pelaburan konkrit dalam inisiatif sedemikian,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Kinabalu yang juga Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin turut memuji usaha DBKK dan inisiatif Mayor seperti program larangan penggunaan plastik yang dilancarkan tahun lalu.
“Saya menggesa penduduk bandar untuk menyokong program ini. Berapa banyak lagi bot pengutip sampah yang diperlukan sepatutnya bukan menjadi ukuran sebaliknya jumlah sampah sarap yang dibuang oleh masyarakat ke laut perlu dikurangkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.