Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 8 rumah rosak dibadai puting beliung

Keadaan rumah yang dilanda puting beliung awal pagi.

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

SEKINCHAN: Hampir 40 penduduk di Kampung Parit 4 berdepan detik cemas apabila kediaman mereka bergegar dan atap rumah berterbangan akibat dibadai puting beliung, pagi tadi.

Angin kencang berserta hujan lebat turut menyebabkan lapan rumah rosak teruk serta menjejaskan puluhan binaan kecil, termasuk gerai tepi jalan.

@buletintv3

Berpuluh rumah penduduk sekitar ban 1 dan ban 2, Parit 4, di Sekinchan mengalami kerosakan teruk susulan kejadian puting beliung. BuletinTV3 Kerosakan PutingBeliung Sekinchan KediamanRosak

♬ original sound – BuletinTV3 – BuletinTV3

Seorang penduduk, P. Marutharajan, yang juga pesawah, berkata angin kuat mula melanda sekitar jam 7.15 pagi ketika dia dan isteri berada di rumah.

“Bumbung rumah naik turun dua kali sebelum terus berpusing dan terbang. Kejadiannya sekejap saja, tak sampai 15 minit. Saya sangat takut, tapi tak boleh buat apa-apa, cam rumah roboh,” katanya.

Tambahnya, ada bumbung yang tercabut terkena kereta yang diparkir di hadapan rumah selain diterbangkan angin sehingga ke tengah sawah.

Sementara itu, seorang suri rumah, V. Kasthuri, berkata dia terdengar bunyi kuat sebelum menyedari bumbung rumahnya diterbangkan angin.

“Tiba-tiba nampak bumbung semua sudah terbang. Saya tak dapat keluar, hanya mampu melihat keadaan itu dari dalam rumah,” katanya yang sempat meminta pertolongan kerana panik dengan situasi berkenaan.

 

Pasangan suami isteri, Azman Mastol dan Noraina Hashim.

Bagi pasangan suami isteri, Azman Mastol dan Noraina Hashim, kejadian ini amat menyedihkan, lebih-lebih lagi ketika umat Islam sedang berpuasa dan bakal menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Lebih memilukan, kediaman mereka antara yang paling teruk terjejas.

“Kami berada di rumah anak di Putrajaya ketika kejadian. Lepas jiran beritahu bumbung tercabut, saya terus pulang. Bila sampai dalam pukul 11 pagi, keadaan memang menyedihkan, bumbung tercabut, semua barang elektrik rosak. Tiada satu pun yang dapat diselamatkan sebab hujan lebat pagi tadi. Anggaran kerugian kira-kira RM120,000,” katanya.

Noraina pula tidak dapat menahan sebak sewaktu ditemui Buletin TV3.

“Menggigil masa dapat tahu, tak boleh cakap apa, redha saja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Zon 7 Selangor Utara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Samsol Maarif Saibani, berkata kejadian berlaku sekitar jam 7.30 pagi.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 pagi. Kebetulan anggota kami berada di kawasan ini selepas selesai operasi memadam kebakaran, jadi bantuan dapat diberikan segera kepada mangsa terjejas.

“Sebanyak lapan rumah mengalami kerosakan teruk dengan 36 mangsa terjejas. Mereka akan ditempatkan sementara di Kuil Sri Mariamman, namun sebahagian besar memilih untuk tinggal bersama saudara-mara,” katanya.

Menurutnya, keadaan kembali reda sekitar jam 10 pagi.

“Ribut itu agak kuat. Anggota bomba sendiri menyaksikan angin menerbangkan beberapa bumbung, pagar kedai, serta menumbangkan tiang elektrik di sepanjang Jalan Parit 4 antara jam 7.40 hingga 8 pagi,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian ini dan ini adalah kejadian pertama seumpamanya di kawasan tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini