KUALA LUMPUR: Lapan pelajar Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan rehlah ke Port Said dan kini dirawat di hospital.
Education Malaysia Egypt (EME) berkata, seramai lima pelajar mengalami luka ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.
“Mereka adalah Muhammad Firdaus Yacob, Muhammad Adli Fitri Mohd Anuar, Shahrul Aiman Jaafar, Muhammad Zulfiqar Ahmad Tarmizi dan Muhammad Hazieq Badrisyah Norhamedon.
“Tiga lagi pelajar, iaitu Muhammad Zafri Abdul Rasyid, Muhammad Sulhi Nazri dan Muhammad Rais Zafran Muhammad Shuhaimi ditempatkan di wad untuk pemerhatian lanjut oleh pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut EME menjelang awal pagi tadi, tiga pelajar yang dirawat dalam wad selamat dibawa ke hospital Sayed Galal di Kaherah untuk rawatan lanjut.
Katanya, insiden itu mendapat perhatian pihak Universiti Al-Azhar yang menghantar pegawai dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab (Mahasiswi) kampus Port Said untuk membantu rawatan pelajar, seterusnya memudah cara pengurusan bersama pihak hospital.
“Selain itu, Setiausaha Pertama (Pendidikan) EME, Ahmad Salehuddin Shafie dan Muhammad Nazirul Mubin Abdul Rahman, turut bergegas ke Hospital As Salam Port Said untuk melihat sendiri keadaan pelajar berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, EME menasihatkan pelajar sentiasa berhati-hati dan waspada dalam menjalankan sebarang aktiviti supaya terpelihara daripada sebarang kejadian yang tidak diingini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.