KUALA LUMPUR: Lapan negeri termasuk seluruh Perlis dan Pulau Pinang diramal dibadai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang sehingga jam 4 petang ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) dalam hantaran di Facebooknya, memaklumkan cuaca sama di Kedah membabitkan Langkawi, Padang Terap, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu; Selangor (Petaling) dan Tampin di Negeri Sembilan.
Selain itu, katanya, hujan lebat dan ribut petir turut dijangka membadai kawasan Alor Gajah dan Jasin di Melaka selain Segamat dan Kluang di Johor dan Sarawak (Limbang).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter (mm) per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
Susulan itu, orang ramai dinasihati untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.