
Oleh: Fahiz Ariff
SABAK BERNAM: Masjid bukan sekadar rumah ibadah, tetapi juga lambang keagungan syiar Islam yang menyimpan jejak sejarah serta warisan seni bina tempatan.
Di Selangor, beberapa masjid lama masih berdiri megah, menjadi saksi bisu kegemilangan generasi terdahulu yang sarat dengan kehalusan seni dan nilai estetika.
Mengimbau jejak warisan di Sabak Bernam, Masjid Lama Kampung Pancang Bedena dan Masjid Lama Kampung Tebuk Mufrad terus teguh sejak lebih seabad lalu, memancarkan keindahan warisan Islam yang berdaya seni.

Menurut rekod Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), hanya lapan masjid berusia lebih 100 tahun masih kekal di negeri ini. Namun, daerah seperti Petaling dan Gombak tidak lagi menyimpan tinggalan masjid lama kerana kebanyakannya telah digantikan dengan binaan baharu.

Penyelidik PADAT, Mohd Zainudin Abdullah, berkata seni bina masjid lama di Selangor memiliki keunikan tersendiri dengan elemen ragam hias warisan Alam Melayu.
“Struktur bumbung limas bungkus dan bumbung bertingkat atau tumpang direka berasaskan falsafah iman, Islam, dan ihsan,” katanya.
Reka bentuk itu turut berkongsi persamaan dengan Masjid Agung Demak di Indonesia yang menggunakan konsep piramid bertingkat, disokong oleh empat batang tiang utama dikenali sebagai tiang saka guru.

“Masjid lama di Selangor kebanyakannya bercirikan bumbung tumpang bertingkat yang semakin mengecil ke atas, mencerminkan keindahan seni bina Melayu yang kaya dengan falsafah dan nilai spiritual,” katanya kepada Buletin TV3.
Beliau menambah, seni bina itu telah wujud sejak abad ke-12 dan perlu terus dipelihara sebagai khazanah budaya Islam di rantau ini.
Komponen masjid seperti mimbar, mihrab, ruang solat, tempat wudhu, menara azan, beduk, dan kertuk adalah warisan sejarah yang autentik dan sarat dengan nilai simbolik.
“Hari ini, kebanyakan masjid dibina dengan pengaruh luar, tetapi apabila kita meneliti masjid warisan tempatan, kita dapat melihat keunggulan masyarakat kita dalam membina masjid yang unik dan beridentiti sendiri,” tambahnya.
Sesungguhnya, masjid warisan bukan sekadar binaan fizikal, tetapi manifestasi kecemerlangan tamadun Islam serta kreativiti masyarakat Melayu.
Keindahan serta falsafah yang tersirat dalam seni bina ini wajar terus dimartabatkan agar kekal menjadi kebanggaan generasi mendatang.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.