MERSING: Lapan krew di tiga buah bot nelayan tempatan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kerana disyaki positif dadah dalam Op Jaksa dan Op Tiris, awal pagi semalam.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, kesemua suspek ditahan kira-kira jam 3 pagi ketika sedang khayal atas bot dalam kawasan perairan Mersing dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.
Katanya, lapan individu termasuk seorang warga Indonesia yang ditahan masing-masing berumur 37 hingga 55 tahun.
“Semua yang ditahan dibawa ke jeti Maritim Mersing untuk tindakan dan siasatan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Sabit kesalahan boleh didenda hingga RM5,000 atau dikenakan penjara maksima dua tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Justeru beliau menyeru komuniti Maritim melaporkan sebarang aktiviti jenayah dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-2199404.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.