Tumpuan :
Nasional

8 individu terlibat ajaran ‘Tuhan Harun’ dihadapkan ke mahkamah

Antara wanita yang didakwa mempunyai kaitan dengan ajaran Tuhan Harun dibawa ke Mahkamah Syariah Tinggi Shah Alam untuk didakwa hari ini. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Lapan individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan ajaran sesat “Tuhan Harun”.

Pertuduhan terhadap tiga lelaki dan lima wanita itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Dr Zainal Abidin Kusmin.

Mereka antaranya didakwa membuat dakwaan palsu dengan mengakui diri sebagai klon tuhan, membuat hantaran menerusi kumpulan perbualan (chat group) di aplikasi Telegram dengan membuat dakwaan palsu bahawa Harun adalah tuhan, dan bersubahat untuk membuat dakwaan palsu mengenai perkara serupa menerusi aplikasi yang sama.

Pendakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 8B dan Seksyen 46B Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000, penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.

Zainal Abidin kemudian membenarkan jaminan lisan ke atas semua tertuduh dengan dua penjamin warga tempatan selain menetapkan sebutan kes bagi kos jaminan pada Isnin depan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam kenyataan berkata kesemua individu berkenaan ditahan hasil serbuan sebuah premis di Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang kira-kira 2.30 petang semalam.

“Hasil risikan mendapati profil dan modus operandi kumpulan itu mempunyai persamaan dan kaitan rapat dengan ajaran berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut menyita beberapa peranti seperti telefon bimbit, komputer riba, tablet dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan ajaran itu. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini