Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) merakam keterangan lapan individu kerana memuat naik kandungan bersifat palsu dan jelik terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim serta Majlis Raja-Raja, kelmarin.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan kandungan itu berpotensi menimbulkan kekeliruan serta kegusaran masyarakat, selain boleh membangkitkan kebencian dan persendaan terhadap institusi diraja. Berdasarkan laporan diterima, pasukan penyiasat MCMC membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Lapan individu terlibat telah dirakam keterangan di enam negeri iaitu Kuala Lumpur, Terengganu, Kedah, Kelantan, Perlis dan Pahang.
“Melalui operasi yang dijalankan, lapan unit telefon pintar dan lapan kad SIM berkaitan kes telah disita bagi membantu siasatan.”Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti berkenaan untuk mendapatkan keterangan bagi membuktikan kes,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, siasatan dijalankan di bawah Akta 588 (sebelum pindaan), yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun, atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai diingatkan agar mengamalkan sikap bertanggungjawab ketika memuat naik sebarang kandungan di media sosial atau perkhidmatan pesanan Internet.
“Mereka juga dinasihatkan supaya tidak menggunakan rangkaian serta aplikasi dalam talian untuk menyebarkan kandungan berunsur palsu dan kebencian, yang bertentangan dengan nilai serta norma masyarakat majmuk di Malaysia,” jelas kenyataan itu lagi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.