PETALING JAYA: Walaupun cadangan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara berkala atau bulanan kepada mandatori pada usia persaraan mencecah 55 tahun belum diputuskan, namun pelbagai reaksi diterima berhubung dengan perkara itu.
Hasil undian di Facebook Buletin TV3, 79% daripadanya tidak bersetuju dengan langkah berkenaan, 14% setuju dan 6% berpendapat ianya perlu dipertimbangkan.
Bagi pemilik akaun Facebook, Khairul Anwar, beliau berpendapat sistem pengeluaran KSWP yang diguna pakai ketika ini sudah memadai dan ianya tidak perlu diganti dengan kaedah lain.
“Rugi kepada pencarum yang berumur hampir 55 tahun bila tidak dapat keluarkan jumlah yang besar seperti sekarang jika diberi dalam bentuk bulanan. Sistem selama ini sudah baik kenapa perlu ditukar?”katanya.
Bagi Lili Lili pula, sekiranya ia masih diteruskan, kaedah pilihan perlu diberikan kepada pencarum sama ada untuk pengeluaran secara berskala atau penuh.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan terbuka dengan cadangan pengeluaran KWSP secara berkala atau bulanan dan kini ianya di peringkat akhir perbincangan.
Perkara itu katanya perlu diteliti dengan mengambil kira beberapa kekangan termasuk jumlah simpanan semasa pencarum KWSP.