SEREMBAN: Sebanyak 771 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan dalam tempoh empat hari Operasi Khas Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2025 di seluruh negeri ini.
Operasi khas itu yang memberi tumpuan kepada kenderaan barangan diadakan pada 27 dan 28 Januari serta 1 dan 2 Februari iaitu sebelum dan selepas Tahun Baru Cina.
Pengarahnya, Hanif Yusabra Yusuf, berkata notis itu membabitkan pelbagai kesalahan antaranya tidak memiliki lesen memandu, tiada perlindungan insurans,
lesen kenderaan tamat tempoh dan kesalahan melibatkan teknikal kenderaan serta lain-lain kesalahan.
“Operasi khas ini diadakan bagi mengambil tindakan terhadap pemandu yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Keseluruhan sebanyak 1,870 kenderaan diperiksa dan 405 diambil tindakan manakala 19 kenderaan disita kerana kesalahan memandu semasa tempoh larangan (13) dan enam kes membabitkan kesalahan lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Hanif Yusabra berkata, berdasarkan statistik, pematuhan terhadap larangan pemanduan kenderaan barangan semasa musim perayaan masih rendah.
Menurutnya, pelbagai alasan diberikan oleh pemandu kenderaan berat termasuk tidak tahu mengenai larangan kenderaan berat.
“Pematuhan bukan sahaja mengelakkan tindakan undang-undang tetapi mampu menyumbang kepada keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.