KEMAMAN: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) bersiap-sedia menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku awal bulan depan.
Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata, JKNT menyediakan seramai 761 petugas perubatan dan kesihatan yang akan bergerak dalam 160 pasukan untuk ditempatkan di semua pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau berkata daripada jumlah itu seramai 361 kakitangan akan terlibat dengan aktiviti dan program berkaitan pencegahan manakala 400 orang atau 80 pasukan lagi untuk memberikan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan dan rujukan.
“Kita telahpun melihat persiapan ini secara details, dan sekiranya berlaku, orang kata, banjir ini, bencana banjir ini, apabila bukanya PPS ,kita akan melihat, berapa bilangan mangsa di sana, di sana lah akan menentukan kita akan tempatkan team kita, secara kekal, ataupun pergi secara, harian”
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Gotong Royong Mega Perangi Aedes dan One Hour Clean Up Peringkat Negeri Terengganu di sini semalam.
Tambah beliau, beberapa siri mesyuarat dan taklimat di peringkat negeri dan daerah diadakan sebelum ini bagi melihat keperluan untuk melakukan persiapan banjir.
Mengenai COVID 19 di PPS, beliau berkata, sehingga ini keadaan kes tersebut stabil dan terkawal serta tidak membimbangkan.
Bagaimanapun pihaknya akan sentiasa memastikan semua mangsa banjir yang tinggal di PPS dapat mengikut SOP yang telah ditetapkan.