Tumpuan :
Nasional

76,000 babi di Selangor dipercayai dijangkiti ASF

Dr Hassuzana (dua dari kanan) bersama pegawai pada sidang media perkembangan terkini penularan wabak African Swine Fever (ASF) di Ibu Pejabat JPV Selangor. – FOTO: NSTP

SHAH ALAM: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (JPV Selangor) mengesan 76,000 dari 250,000 babi di 56 ladang babi dipercayai dijangkiti penyakit demam babi Afrika (ASF), sejak 28 Januari lalu.

Pengarahnya, Dr Hassuzana Khalil berkata, penularan wabak itu dipercayai berlaku pantas kerana jarak antara ladang sangat dekat iaitu antara 0.5 hingga 1 kilometer dan keadaan itu menyumbang kepada kadar jangkitan yang tinggi.

Menurutnya, bagi mengekang penularan penyakit ASF terus merebak khususnya keluar dari negeri ini, JPV Selangor mengambil beberapa langkah proaktif mengikut Akta Binatang 1953.

“Perintah dikeluarkan mengikut Seksyen 19, Akta Binatang 1953 kepada pemilik ladang babi, yang mana JPV Selangor kenal pasti babi dari ladang yang disahkan atau dipercayai dengan semunasabahnya dijangkiti penyakit ASF.

“Pemilik babi perlu melupuskan kesemua babi yang ada di ladang terbabit dalam tempoh tujuh hari ini.

“Sehingga 2 petang hari ini, sebanyak 14 Perintah mengikut Seksyen 19, Akta Binatang 1953 dikeluarkan kepada 14 pemilik ladang babi,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JPV Selangor, Seksyen 15 di sini petang ini.

Hassuzana berkata, setakat, jam 2 petang hari ini, kira-kira 1,200 babi sudah dilupuskan mengikut Arahan Prosedur Tetap Veterinar Malaysia (APTVM).

Beliau berkata, JPV Selangor turut mengambil langkah drastik mengawal aktiviti pemindahan keluar dan masuk babi di dalam negeri ini.

“Antaranya, syarat pemindahan babi antara daerah terbabit diperketatkan dengan pemindahan babi hanya dibenarkan di dalam Selangor hanya untuk tujuan penyembelihan di rumah penyembelihan dilesenkan.

“Bagi mengelakkan pemindahan babi tanpa kebenaran atau tidak mengikut undang-undang, JPV Selangor menetapkan laluan pergerakan kenderaan pengangkut babi ke rumah penyembelihan dilesenkan.

“Sekiranya dikesan tidak berada di laluan ditetapkan semasa memindahkan babi, individu berkenaan boleh didakwa di mahkamah,” katanya.

Selain itu, katanya, kawalan pemindahan babi mahupun karkas atau bangkai babi, khususnya keluar dari Selangor diperhebatkan melalui aktiviti penguatkuasaan seperti rondaan dan pemantauan pemindahan babi di sempadan Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini