Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Seramai 74 penduduk daripada 22 keluarga, di Ulu Tiram dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Raya selepas rumah mereka dinaiki air hingga satu meter.
Ia susulan hujan berterusan lebih 4 jam petang semalam.
“Hingga pagi ini terdapat 74 penduduk daripada 22 keluarga iaitu dari jalan batu 10 dan jalan Mak Piah telah diarahkan berpindah ke PPS dewan orang ramai Ulu tiram selepas air sungai tiram melimpah.
“Semua mangsa telah diarahkan berpindah bermula jam 7 petang semalam” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, pasukan bomba dan penyelamat Johor Jaya menyelamatkan 61 penduduk di jalan Mak Piah petang semalam selepas mereka terperangkap dalam banjir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Mohd Faiz Ramli berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan banjir kilat pada jam 7.31 malam.
Katanya lapan anggota bersama sebuah jentera dan bot Aluminium dihantar ke lokasi.
“Sebaik tiba didapati, berlaku banjir kilat setinggi satu meter di sekitar kawasan kampung itu, dan 61 mangsa dipindahkan ke PPS Dewan Raya Sungai Tiram menggunakan satu unit bot Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Ulu Tiram dan satu unit bot orang awam.
“Selain itu, 40 mangsa berpindah sendiri ke PPS, selepas hujan reda,” katanya.
Mohd Faiz berkata, mangsa yang diselamatkan membabitkan 23 lelaki dewasa, wanita dewasa (20), lelaki warga emas (3), wanita warga emas (1), kanak-kanak perempuan (8), kanak-kanak lelaki (4) dan bayi lelaki (2).