
Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan FAMA Corporation Sdn. Bhd. (FAMACO) telah menggerakkan langkah untuk menstabilkan harga dalam memastikan bekalan kelapa diperoleh.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sehingga Selasa lalu, FAMA dan FAMACO telah membawa masuk bekalan kelapa tua dikupas sebanyak 734 tan metrik dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian berjumlah RM2.01 juta.

“Bekalan kelapa tua tersebut seterusnya diedarkan oleh 42 buah Pusat Operasi FAMA ke pasaran melalui 509 buah outlet pemasaran FAMA seperti Agrobazaar Kedai Rakyat (AKR), Agrobazaar Rakyat (ABR), Pasar Tani, Pasar Tani Kekal”
“Sebahagian bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 orang usahawan santan di seluruh negara.”
Mohamad berkata demikian menjawab pertanyaan ahli parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang ingin kerajaan meperincikan perancangan jangka pendek, pertengahan dan panjang untuk menangani lonjakan harga produk berasaskan kelapa terutama santan yang boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan dan nilai berteraskan kelapa akibat kekurangan bekalan kelapa tempatan, kenaikan harga kelapa dari Indonesia dan faktor cuaca.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, lonjakan harga produk berasaskan kelapa terutamanya santan adalah disebabkan oleh beberapa faktor utama.
“Peningkatan harga kelapa di pasaran sejak November 2024 berpunca daripada kenaikan harga kelapa import dari Indonesia berikutan kekurangan bekalan serta peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China.
“Kesannya, harga kelapa tempatan turut meningkat kerana permintaan yang lebih tinggi. Selain itu, trend petani tempatan yang lebih cenderung menjual kelapa muda berbanding kelapa tua turut menyumbang kepada bekalan yang tidak mencukupi untuk pemprosesan santan,”
Mengulas lanjut, Mohamad memaklumkan, buat masa ini negara pengeksport kelapa seperti Indonesia tidak mengurangkan jumlah eksport mereka ke Malaysia namun bertindak menaikkan harga barangan tersebut.
“Indonesia tidak mengurangkan jualan kelapa kepada Malaysia cuma mereka naikkan harga. Itu hak mereka kerana kita tahu pasaran kelapa bergantung kepada permintaan dan penawaran,”
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.