Tumpuan :
Nasional

73 stor sempadan Kelantan-Thailand disyaki digunakan untuk kegiatan penyeludupan

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid

KOTA BHARU: Sebanyak 73 stor terletak di sempadan Kelantan-Thailand di jajahan Rantau Panjang dan Tumpat dipercayai dibina untuk kegiatan penyeludupan.

Hampir keseluruhan stor berkenaan dibina diatas tanah persendirian dan didirikan sehingga mencecah tebing Sungai Golok.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid, berkata semua stor berkenaan meliputi kawasan tanggungjawab pihaknya iaitu sepanjang 41.8 kilometer (km) dari Pulau Tengkorak, Pengkalan Kubor sehingga pangkalan haram Bagus, Rantau Panjang.

Katanya, fungsi utama stor berkenaan untuk menghalang pasukan keselamatan daripada memantau sebarang aktiviti yang dilakukan di premis berkenaan.

“Modus operandi biasanya mereka akan menyeludup barangan di sempadan melalui stor dengan menggunakan bot.

“Kebanyakan pemilik stor ini sendiri yang menjalankan kegiatan menyeludup barang, bukannya mengambil upah melalui cara membenarkan stor miliknya digunakan oleh orang lain.

“Kebanyakan pemilik stor mempunyai bot sendiri untuk menjalankan kegiatan seludup barang selain ada juga pemilik stor yang bergantung kepada bot rakan seludup dari negara jiran,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut katanya, sekiranya pihaknya mendapat maklumat terdapat aktiviti yang mencurigakan, pihaknya akan menjalankan pemeriksaan terhadap stor berkenaan.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pemilik stor berkenaan supaya tidak mengambil kesempatan dengan melakukan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini