Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 7,286 kes ‘Love Scam’ direkodkan sejak 2018

KUALA LUMPUR: Kerugian RM365 juta direkodkan sejak 2018 sehingga Februari lalu akibat penipuan cinta atau ‘Love Scam’ yang mana antara penipuan yang tertinggi di negara ini.

Menurut Pemangku Timbalan Pengarah Siasatan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohamad Usuf Jan Mohamad daripada 7,286 kes yang direkodkan, 82.5 peratus atau 6,008 mangsa adalah wanita dan bakinya iaitu 1,228 kes membabitkan mangsa lelaki.

Pemangku Timbalan Pengarah (siasatan),Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berucap pada pelancaran Filem Kesedaran Love Scam di Maktab Polis Diraja Kuala Lumpur.

“Pada tahun ini sahaja sebanyak 159 kes direkodkan membabitkan 132 daripadanya mangsa wanita,” katanya pada sidang media selepas melancarkan filem kesedaran Anti-Scam: Oppa di Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, hari ini.

Mengulas berhubung filem berkenaan, Mohamad Usuf berkata, pelbagai usaha dilakukan PDRM bagi memastikan aktiviti pencegahan ini sampai kepada masyarakat termasuk bekerjasama dengan syarikat penerbit filem dan menghasilkan filem anti-scam.

“Menerusi filem ini diharap bakal memberikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan ancaman jenayah komersil terutama ‘love scam’.

“Pembikinan filem ‘Oppa’ adalah berlandaskan objektif bagi menyebarkan pengetahuan tentang modus operandi sindiket penipuan dalam talian dengan lebih berkesan kepada umum, meningkatkan kesedaran masyarakat bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan dan membangkitkan semangat ‘anti scam’ dalam masyarakat,” katanya.

Menurutnya, selain daripada pembikinan filem pelbagai usaha dan aktiviti turut dilakukan bagi membanteras penularan kes-kes penipuan sebegini.

“JSJK melaksanakan pelbagai aktiviti pencegahan jenayah komersil melalui Kempen Anti Scam PDRM. Program pencegahan ini dilakukan secara berterusan kerana jabatan ini yakin, melalui ilmu pengetahuan yang mencukupi.

“Antara melaksanakan program sembang santai yang fokus kepada kumpulan-kumpulan kecil, wawancara televisyen dan radio, ceramah dan pameran di sekolah, rumah ibadat, universiti dan seumpamanya, program meet and greet di tempat tumpuan masyarakat, dan paparan mesej anti scam di papan-papan iklan utama seluruh Malaysia,” katanya.

Loading...
Terkini