SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor memeriksa 72 premis runcit bagi memastikan pematuhan terhadap Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang dikuat kuasakan bermula Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni, berkata hasil pemeriksaan setakat semalam mendapati peniaga mematuhi skim yang ditetapkan.
“Ini membuktikan peniaga faham dan akur dengan sistem kawalan harga ini. Pemeriksaan akan diteruskan di seluruh Selangor sehingga 30 April ini bagi memastikan harga kawalan dipatuhi peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemeriksaan dan tinjauan pematuhan SHMMP sempena Aidilfitri di Pasaraya ST Rosyam Mart, di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan fokus kepada pematuhan peniaga di peringkat runcit dan borong terhadap penggunaan tanda harga warna merah jambu di bawah skim berkenaan.
“Pemeriksaan turut dilakukan terhadap alat timbang sukat, jualan tidak melebihi harga maksimum serta keberadaan bekalan,” katanya.
Mohd Zawawi menggesa orang awam untuk membuat aduan sekiranya mendapati ada peniaga yang mengambil kesempatan meletakkan harga tinggi bagi barangan kawalan di bawah SHMMP.
“Pengguna di luar atau pinggir bandar terutamanya, boleh membantu dengan membuat aduan salah laku peniaga. Tindakan segera akan dilaksanakan KPDN,” katanya.