
KUALA LUMPUR: Sebanyak 72 pertubuhan kongsi gelap telah diisytiharkan sebagai menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966, selepas didapati memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pertubuhan ini terlibat dalam aktiviti jenayah serius seperti pengedaran dadah, penyeludupan migran, dan pelacuran.
“Ia antaranya membabitkan Geng 360 Devan dengan 110 ahli yang menguasai aktiviti pengedaran dadah dari selatan ke Pulau Pinang.
“Seramai 82 ahlinya ditahan ketika operasi dijalankan dengan 63 dituduh di mahkamah dan disabitkan sementara 18 ahli dibebaskan manakala seorang lagi dituduh mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959,” katanya ketika menyampaikan penyataan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Antara pertubuhan kongsi gelap lain yang disebut beliau ialah Geng Emi Keju, Geng Jackie dan Geng Otong.
Berdasarkan Seksyen 5 (1) Akta 832, ia memberi kuasa kepada menteri dalam negeri untuk mengisytiharkan mana-mana pertubuhan sebagai menyalahi undang-undang sekiranya didapati memudaratkan keselamatan dan ketenteraman awam.
Penyataan menteri itu dibuat bagi memberitahu Dewan Rakyat berhubung tiga hala tuju penambahbaikan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) (Akta 747).
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin berkata, sejak 2020 hingga kini, seramai 3,452 individu ditahan di bawah SOSMA dengan 2,208 daripadanya atau 64 peratus dituduh di mahkamah.
Beliau berkata, 884 atau 30 peratus dibebaskan di bawah pertuduhan Akta 747 dan disiasat di bawah POCA.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.