comscore
Tumpuan :
Nasional

71,290 lepasan SPTM, setaraf ditawar masuk universiti awam

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Seramai 71,290 calon lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan setaraf ditawarkan tempat bagi melanjutkan pengajian ke universiti awam (UA) peringkat Sarjana Muda sesi akademik 2024/2025 menerusi UPUOnline.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, sebanyak 1,114 program pengajian Sarjana Muda telah ditawarkan bagi sesi kali ini.

“Kemasukan pelajar ke institusi tersebut dibuat berasaskan prinsip meritokrasi dengan menyusun semua calon yang layak mengikut markah merit tertinggi hingga terendah,” menurut kenyataan itu.

Pada tahun ini, KPT menerima 105,424 permohonan yang layak bagi lepasan STPM dan setaraf untuk melanjutkan pengajian menerusi UPUOnline.

Foto hiasan

Lepasan sijil setaraf merujuk kepada Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Matrikulasi, Asasi dan Diploma.

“Kepada calon yang tidak mendapat tawaran tempat pengajian, kementerian kini telah membuka saluran peluang kedua melalui proses rayuan di UPUOnline dalam tempoh 10 hari bermula jam 12 tengah hari, hari ini sehingga jam 5 petang pada 15 September 2024,” menurut kenyataan itu.

Rayuan boleh dilakukan di https://upu.mohe.gov.my.

Semalam, KPT memaklumkan, tawaran tempat bagi sesi akademik 2024/2025 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan UA tidak dibenarkan.

Jelasnya, dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian.

Pada masa sama, KPT mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya dan berharap peluang menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi digunakan sebaiknya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini