Tumpuan :
Nasional

71 individu ditahan apabila polis gempur ‘Calling Centre’ scammer

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Dua premis pejabat yang disyaki dijadikan sebagai ‘calling centre’ dalam aktiviti berkaitan judi dalam talian dan tawaran kerja tidak wujud digempur polis, 27 November lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pihaknya bertindak atas maklumat awam dengan menyerbu dan membuat pemeriksaan ke atas dua premis pejabat di sekitar Iskandar Puteri itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati sindiket menjalankan kegiatan itu menyasarkan mangsa di luar negara.

“Dalam dua serbuan itu, seramai 71 individu berusia antara 22 hingga 52 tahun ditahan. Daripada jumlah itu, seramai 36 adalah warga tempatan dan 35 warga asing.

“Dalam serbuan pertama, kita menahan 18 lelaki warga asing berusia antara 26 hingga 44 tahun yang disyaki menjalankan aktiviti ‘calling centre’ perjudian dalam talian.

“Hasil pemeriksaan, kita merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti itu antaranya 27 telefon bimbit, 18 komputer riba, 12 monitor yang semuanya dianggarkan bernilai RM80,000,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Menurut Kumar, berdasarkan siasatan, sindiket ini didapati memulakan operasi pada awal bulan lalu dan menjalankan aktiviti membangunkan dan menjual aplikasi perjudian dalam talian untuk pasaran dalaman dan luar negara.

Manakala, dalam serbuan kedua, Kumar berkata, pihaknya menahan 53 individu terdiri daripada 36 warga tempatan, masing-masing 18 orang lelaki dan wanita serta 17 warga asing semuanya berusia antara 22 hingga 52 tahun.

Katanya, mereka ditahan kerana disyaki menjalankan aktiviti ‘calling centre’ bagi penipuan tawaran kerja dalam talian yang tidak wujud.

“Hasil pemeriksaan, kita merampas peralatan yang digunakan dalam aktiviti itu antaranya 53 telefon bimbit, 23 komputer riba dan 16 set komputer dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM145,000.

“Berdasarkan siasatan, sindiket ini beroperasi pada penghujung Oktober lalu dan bergiat dalam dua lapisan yang mana lapisan pertama berperanan sebagai khidmat pelanggan dan ‘data entry’.

“Mereka akan menghantar mesej melalui aplikasi Telegram kepada talian luar negara berkaitan tawaran pekerjaan secara dalam talian yang menjanjikan pendapatan yang mudah dan tinggi iaitu antara USD100 sehingga USD800 bagi setiap tugasan.

“Lapisan ini hanya meminta maklum balas berkaitan nama, umur dan negara. Sekiranya penerima mesej berkenaan memberikan maklum balas, maklumat berkenaan akan diserahkan kepada lapisan kedua yang akan berkomunikasi lebih lanjut dengan mangsa berkenaan tawaran berkenaan,” katanya.

Kumar berkata, bagi sindiket kedua, mereka menyasarkan mangsa dari Rusia dan India.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4B(b) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Semua tangkapan ditahan reman untuk siasatan sehingga hari ini dan kedua-dua kertas siasatan telah dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Johor semalam untuk mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.

“Setelah meneliti keterangan dan hasil siasatan, Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan semua 18 tangkapan dalam serbuan pertama dituduh di bawah Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan iaitu pakat jahat jenayah, hari ini,” jelasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini