Tumpuan :
Nasional

70 peratus pengguna di Muallim terputus bekalan air

LAP menyalurkan air bersih kepada penduduk daerah Muallim yang terjejas akibat gangguan bekalan air ekoran muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting dan paip saluran utama pecah. Foto: NSTP

SLIM RIVER: 70 peratus daripada keseluruhan 12,000 akaun pengguna di daerah Muallim terputus bekalan air susulan muka sauk pecah dan kejadian kepala air di Sungai Slim, di sini, sejak semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu berlaku ekoran muka sauk Loji Rawatan Air Sungai Geliting di bahagian hulu Sungai Slim pecah menyebabkan kejadian kepala air merosakkan paip saluran utama di Jambatan Lama Sungai Slim runtuh.

“Kita akan lakukan kerja pembaikan terhadap kerosakan yang berlaku, namun dalam tempoh sementara ini, Lembaga Air Perak (LAP) menghantar bekalan air kepada penduduk terjejas menggunakan lori tangki,” katanya selepas meninjau keadaan runtuhan Jambatan Lama Sungai Slim di Jalan Slim River-Behrang Ulu di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, memandangkan keadaan loji utama pecah, LAP akan menggunakan muka sauk loji rawatan kedua di Sungai Slim yang berperanan sebagai loji simpanan untuk membekalkan air kepada penduduk.

Menurutnya, proses itu akan mengambil sedikit masa membabitkan beberapa kerja baik pulih dan pemeriksaan agar loji rawatan kedua itu boleh beroperasi sebaiknya.

“Loji utama sedia ada memang tidak boleh digunakan kerana sudah pecah, namun kita ada satu loji rawatan di Sungai Slim yang boleh diguna pakai.

“LAP akan mengambil tindakan segera untuk memulihkan bekalan kepada penduduk terbabit dan dalam masa lihat semula apa yang patut kita lakukan kepada loji yang pecah itu,” katanya.

Dalam pada itu, LAP menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan gangguan bekalan air berlaku di beberapa kawasan dalam daerah Muallim termasuk Proton City, Universiti Pendidikan Sultan Idris (Kampus Sultan Azlan Shah), Kampung Kelawar dan Hospital Slim River bermula jam 10 malam tadi sehingga kerja pembaikan selesai.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini