Tumpuan :
Nasional

70 pegawai dan anggota SMART berlepas ke Turkiye

Foto NSTP – Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketika sidang media pelepasan anggota SMART yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

KUALA LUMPUR: 70 pegawai dan anggota daripada tiga agensi keselamatan dan kecemasan Malaysia berlepas ke Turkiye bagi membantu Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa kejadian gempa bumi di Turkiye.

Pegawai dan anggota terbabit membabitkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART); Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dan Unit Anjing Pengesan (K9), Jabatan Bomba dan Menyelamat (JBPM) dan Pasukan Perubatan, Kor Kesihatan Diraja, Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mereka ditugaskan untuk membantu mencari dan menyelamat mangsa bencana, di 10 wilayah yang terjejas di negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata Malaysia menghantar pasukan bantuan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas dasar kemanusiaan dan jalinan hubungan yang erat antara kedua-dua negara.

“Untuk peringkat awal, tumpuan kita adalah membantu operasi mencari dan menyelamat di kawasan terjejas. Pasukan kita juga membawa 10 tan peralatan bantuan kecemasan untuk operasi ini.

“Wisma Putra akan bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kedutaan Malaysia di Turkiye dan Kedutaan Turkeye di Malaysia, bagi menyelaraskan bantuan yang diperlukan,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.

Zambry berkata, Kementerian Luar juga akan melihat jika bantuan lain diperlukan, selain daripada kekuatan pasukan SAR.

Beliau berkata, Malaysia sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan, termasuk bantuan kecemasan jika diperlukan.

“Pada masa ini, Malaysia memutuskan untuk melihat dahulu situasi lokasi bencana gempa bumi sebelum memutuskan penghantaran bantuan susulan,” katanya.

Kejadian gempa bumi melanda tenggara Turkiye pada jam 4.17 pagi waktu tempatan, iikuti dua gempa susulan yang melanda wilayah Gaziantep.

Selain Turkiye, negara jiran Syria dan Lubnan turut terjejas. Bencana itu setakat ini dilaporkan meragut lebih 1,400 nyawa di Turkiye dan Syria.

Loading...
Terkini