Tumpuan :
Nasional

70 keluarga di bandar Penawar diarah berpindah akibat banjir

Foto: Ihsan JBPM Johor

Oleh: Zahir Senapiah

KOTA TINGGI: Sekurang-kurangnya 70 keluarga di tiga taman perumahan di Bandar Penawar dekat sini, terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air setinggi 0.5 meter ekoran hujan lebat yang berterusan sejak awal pagi tadi.

Mangsa-mangsa banjir telah dipindahkan ke Dewan Kampung Baru Sungai Mas dan Dewan Muafakat Taman Desaru Utama.

Menurut jurucakap Bilik Gerakan Bencana Daerah Kota Tinggi, sekiranya hujan berterusan, lebih ramai mangsa akan dipindahkan demi keselamatan mereka. “Proses pendaftaran bilangan mangsa sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi.

Foto: Ihsan JBPM Johor

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi pemindahan penduduk yang terperangkap di kawasan dinaiki air berjalan lancar. Pihak bomba menerima panggilan mengenai kejadian banjir pada jam 6.33 pagi.

Sebagai tindak balas, sebuah jentera bersama lapan anggota dari Balai Bomba Bandar Penawar digerakkan ke lokasi, diketuai Pegawai Kanan Bomba, Soleh Nasir.

Foto: Ihsan JBPM Johor

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan mendapati kawasan taman tersebut dinaiki air sehingga paras lutut. Pasukan penyelamat bertindak membawa keluar 80 peratus penduduk ke kawasan selamat untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Anggota bomba dan penyelamat kini berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, dan tidak menolak kemungkinan lebih ramai mangsa akan dipindahkan jika hujan berterusan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini