comscore
Tumpuan :
Nasional

7 warga Vietnam disyaki mangsa eksploitasi seks diselamatkan

Tujuh wanita warga Vietnam yang dipaksa menjadi pekerja seks diselamatkan dalam operasi Imigresen di Klang. – FOTO: Ihsan Jabatan Imigresen/ Facebook

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bukan setakat dikurung, tetapi dipukul jika enggan melayani pelanggan.

Itu situasi yang dialami tujuh wanita warga Vietnam yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks sebelum diselamatkan Jabatan Imigresen (JIM) dalam satu operasi membanteras pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran di sebuah premis rumah kedai dua tingkat di Klang, Selangor.

Dalam kenyataan hari ini, JIM memaklumkan, operasi pada Isnin lalu bermula pada jam 11.23 malam melibatkan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Berdasarkan maklumat aduan, tujuh wanita berumur antara 32 hingga 45 tahun itu dilaporkan telah dikurung di premis tersebut dan dipukul jika enggan melayani pelanggan.

Kesemua wanita berkenaan memasuki ke negara ini sebagai pelancong tetapi dipaksa dan dieksploitasi sebagai pekerja seks di premis terbabit.

Premis itu dikawal ketat oleh kapten warga Bangladesh dan dipantau sepanjang masa melalui kamera litar tertutup (CCTV).

“Ketika pemeriksaan, anggota operasi terpaksa memecahkan pintu utama kerana penjaga premis atau kapten enggan bekerjasama dan cuba melarikan diri melalui tingkap di tingkat dua bangunan tetapi berjaya ditahan,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, JIM berkata, berdasarkan temu bual, kesemua pasport wanita berkenaan dipegang oleh individu dipercayai ejen yang menawarkan pekerjaan kepada mereka.

Mereka hanya dibayar RM60 bagi setiap pelanggan dan pergerakan dikawal ketat termasuk larangan keluar untuk membeli makanan dan barang keperluan.

Menurut JIM, operasi tersebut turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang (eksploitasi seks) dalam kalangan golongan rentan berpandukan Garis Panduan Nasional Mengenai Penunjuk Pemerdagangan Orang (NGHTI) 2.0.

“JIM telah memulakan siasatan bagi melihat kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].

“JIM sentiasa memandang serius perkara seumpama ini dan meneruskan operasi penguatkuasaan serta mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang melakukan kesalahan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di bawah Akta 670,” menurut kenyataan itu.

Sabit kesalahan, individu terlibat boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan hukuman sebat bagi kesalahan pemerdagangan orang yang lebih berat.

Pada masa sama, JIM mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat sekiranya mempunyai maklumat berhubung jenayah pemerdagangan orang.

Ia bagi memastikan tindakan undang-undang boleh diambil selaras usaha kerajaan membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

Sebarang aduan atau maklumat boleh disalurkan ke Bahagian Pencegahan ATIPSOM & AMLA di talian 03-8880 1471 atau melalui e-mel ke [email protected].

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini