Oleh: Kadir Edison
SIBURAN: Tujuh unit rumah kedai musnah dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Chung Hua di sini tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.24 petang.
Menurutnya, tiga jentera beserta sebuah lori tangki dengan kekuatan 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian dan dibantu BBP Siburan, Batu Lintang dan Tabuan Jaya dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba di lokasi, Komander Operasi melaporkan kebakaran melibatkan 7 unit lot kedai 2 tingkat yang berkeluasan 2,400 kaki persegi bagi setiap unit lot.
“Anggota bomba yang memadamkan bangunan terbabit menggunakan dua aliran dengan empat pancutan air iaitu satu pancutan di bahagian hadapan lot kedai manakala tiga pancutan air lagi dari bahagian belakang bangunan lot kedai berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata, bomba juga menggunakan bantuan jentera ‘skylift’ digunakan untuk melakukan pemadaman api dari bahagian atas banguanan lot kedai terbabit.
Katanya, bomba mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit bagi mengawal kebakaran daripada merebak.
“Kebakaran terbabit memusnahkan antara 30 hingga 80 peratus struktur ketujuh-tujuh lot kedai berkenaan,” katanya.
Kebakaran tidak membabitkan kemalangan jiwa dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.