Tumpuan :
Nasional

7 suspek tipu umrah disambung reman sehingga esok

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan. – Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh individu termasuk pemilik sebuah syarikat pelancongan yang ditahan berkaitan kes penipuan pakej umrah, telah disambung reman selama sehari.

Kes ini melibatkan dakwaan kegagalan syarikat tersebut menerbangkan jemaah umrah ke Makkah pada Selasa lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan perintah sambung reman itu diberikan sehingga esok bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap semua suspek.

“Seorang lagi suspek iaitu isteri kepada pemilik syarikat dibebaskan dengan jamin polis.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan berkaitan kes itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Media semalam melaporkan sebanyak 31 laporan diterima di Selangor dengan kerugian kira-kira RM2.1 juta membabitkan penipuan umrah.

Hussein dilaporkan berkata, daripada jumlah terbabit, sebanyak 19 laporan dibuat daripada mangsa yang mewakili setiap keluarga, manakala 11 lagi daripada ejen dan satu laporan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac).

Kelmarin, seramai lapan individu termasuk pasangan suami isteri yang juga pemilik sebuah syarikat pengendali umrah berusia antara 24 hingga 46 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes penipuan membabitkan kerugian RM2.1 juta.

Siasatan awal mendapati syarikat pengendali umrah itu mula beroperasi sejak tahun 2022 dan berpindah ke sebuah premis tiga tingkat di Sepang pada Oktober tahun lalu.

Penahanan dibuat selepas polis menerima tujuh laporan awal mengenai penipuan pakej umrah yang diiklankan melalui aplikasi TikTok dan ejen syarikat.

Kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini