comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 7 penguat kuasa PBT terima rasuah direman

 

KUALA LUMPUR: Tujuh penguat kuasa pihak berkuasa tempatan direman lima dan tujuh hari bagi membantu siasatan kes menerima rasuah secara bulanan hampir RM12,000 daripada premis perniagaan yang beroperasi menggunakan lesen “ali baba’ di ibu negara

Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40-an telah ditahan di sekitar ibu negara antara jam 8.30 hingga jam 11 pagi Isnin menerusi Op Orange dijalankan SPRM Kuala Lumpur.

Susulan penahanan itu, kesemua suspek direman setelah Majistret Amira Abd Aziz membenarkan lima anggota penguat kuasa direman selama lima hari sehingga 27 Julai ini sementara dua lagi anggota penguat kuasa direman selama tujuh hari sehingga 29 Julai selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pagi tadi.

Menurut sumber, menerusi risikan dijalankan SPRM sejak enam bulan lalu, kesemua penguat kuasa yang ditahan itu disyaki melindungi premis-premis haram yang beroperasi secara tidak sah dan menerima wang rasuah secara bulanan antara RM200 hingga RM1,000 daripada pemilik dan penjaga premis berkenaan.

“Wang rasuah yang diterima ini sebagai balasan kerana tidak mengambil tindakan penguatkuasaan kepada premis-premis berkenaan yang bukan sahaja menggunakan lesen ‘ali baba’, sebaliknya kerana kesalahan menggajikan warga asing sebagai pekerja selain beroperasi menggunakan lesen yang berbeza,” katanya.

Menurut sumber itu lagi, susulan tangkapan terhadap kesemua suspek, SPRM turut menyita wang tunai kira-kira RM40,000.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Fauzi Husin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kesemua suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, seorang suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini