
KUALA LUMPUR: Tujuh perubahan dalam penempatan dan pelantikan baharu bagi jawatan pengurusan tertinggi perkhidmatan awam diumumkan hari ini.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, perubahan itu membabitkan lima Ketua Setiausaha kementerian serta masing-masing seorang Ketua Pengarah dan Ketua Setiausaha Sulit.
Ia akan berkuat kuasa pada 10 Mac ini.
“Perubahan sejajar dengan agenda reformasi perkhidmatan awam bagi memperkasakan nilai dan tugasan penjawat awam, khususnya pegawai kanan.
“Ia bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial Facebook.
Perubahan itu membabitkan Datuk Dr Aminuddin Hassim dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan dan Datuk Dr Anesee Ibrahim dilantik sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi.
Selain, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ruji Ubi sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Shaharuddin Abu Sohot sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Sementara itu, Datuk Shahrol Anuwar Sarman dilantik sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pejabat Perdana Menteri, JPM.
Manakala Datuk Seri Sollehuddin Alyubi Zakaria dilantik sebagai Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (JPM).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.