Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
BESUT: Tujuh nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu selepas didapati positif dadah dalam satu serbuan yang dilakukan di Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini, awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kapten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, tujuh nelayan membabitkan dua warganegara tempatan dan lima warga asing berusia lingkungan 35 ke 48 tahun itu ditahan melalui satu Operasi Khas bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Serbuan membabitkan dua elemen iaitu elemen darat dan laut dengan kekuatan seramai 37 anggota serta dua aset laut telah dilakukan di sekitar kawasan jeti serta bot-bot nelayan yang berlabuh di jeti tersebut bermula jam 12.30 tengah malam tadi.
Ujian saringan air kencing dibuat terhadap 23 nelayan dan 7 daripadanya didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Akta Penagih Dadah (Rawatan Dan Pemulihan) 1983.
Dua nelayan tempatan yang ditahan diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut.
Manakala nelayan asing yang positif diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan selanjutnya.
“Kebanyakan mereka menggunakan alasan mengambil dadah bagi menghilangkan rasa tekanan ketika berada di tengah laut dan juga membantu memberikan tenaga apabila bekerja.
“Kemungkinan ada pembekal atau pusher yang menyasarkan golongan nelayan sebagai pelanggan utama mereka, oleh itu operasi berterusan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengekang isu penyalahgunaan dadah di kalangan nelayan ini,” ujarnya.
Operasi berakhir jam 4 pagi tadi.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.