BAYAN LEPAS: Seramai tujuh daripada 25 nelayan yang diperiksa didapati positif dadah ketika operasi bersepadu di Teluk Kumbar di sini, semalam.
Dalam operasi itu juga, tiga bot nelayan bersama sembilan kru ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, operasi yang dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu turut menahan seorang suspek dikehendaki polis.
“Penahanan ini adalah hasil maklumat risikan dan aduan awam yang mana seramai tujuh daripada 25 nelayan didapati positif dadah selepas menjalani ujian saringan air kencing
“Selain itu, tiga bot nelayan bersama sembilan kru tempatan ditahan atas pelbagai kesalahan seperti melanggar syarat lesen dan menangkap ikan di kawasan larangan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Operasi bersepadu itu membabitkan seramai 51 anggota termasuk Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Pasukan Polis Marin (PPM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Pulau Pinang.
Menurut Razali, operasi berkenaan tertumpu kepada pemeriksaan di perairan Teluk Kumbar dan jeti pendaratan ikan di sekitar kawasan berkenaan.
“Operasi berkenaan adalah usaha berterusan Maritim Malaysia dan agensi berkaitan bagi memelihara keselamatan perairan serta memastikan pematuhan undang-undang dalam kalangan komuniti maritim di perairan negeri ini.
“Ia akan dilaksana secara berkala bagi memastikan pengusaha bot nelayan tempatan di sekitar perairan Pulau Pinang sentiasa mematuhi peraturan yang sudah ditetapkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.