KUCHING: Sebanyak tujuh mangsa maut dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies di Sarawak tahun ini.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan kematian akibat rabies sejak 2017 adalah seramai 75 mangsa.
Beliau berkata, sejak wabak rabies diisytiharkan pada 2017, sebanyak 82 kes rabies menjangkiti manusia direkodkan.
“Berikutan kes jangkitan yang masih berlaku, kerajaan Sarawak terus menjalankan pelbagai program seperti Persidangan Rabies di Borneo (RIB) yang diadakan pada Oktober lalu.
“Lebih 300 peserta termasuk perwakilan asing dari Australia, Brunei, Indonesia dan Sabah menyertai persidangan itu dengan objektif untuk membanteras rabies di Pulau Borneo menjelang 2030,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, hari ini.
Dr Rundi berkata, sehingga 7 November lalu, 114 daripada 822 sampel haiwan diuji positif rabies, dengan 74 kes dikenal pasti di Kuching, Serian (6), Sri Aman (4), Samarahan (8), Kapit (4), Mukah (4)dan Bintulu (14).
Menurutnya, berikutan jumlah anjing yang didapati positif rabies yang tinggi di Kuching, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak melancarkan Operasi Rabies Bersepadu di bandar raya itu dengan memberi tumpuan kepada kawasan dengan insiden tertinggi kes rabies manusia.
“Operasi itu bertujuan untuk menjalankan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk memastikan pematuhan pelesenan anjing, vaksinasi rabies dan penyingkiran anjing liar yang disasarkan.
“Agensi yang terbabit dalam operasi itu termasuk Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Polis Diraja Malaysia, Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak serta pihak berkuasa tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan berkaitan.
“Sehingga Oktober lalu, sejumlah 13,757 ekor anjing sudah divaksinasi dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan terus menjalankan vaksinasi besar-besaran di seluruh Sarawak serta meningkatkan pelbagai program kesedaran,” katanya.
Menurutnya, penubuhan Pasukan Veterinar Bergerak (VMT) juga akan dipercepatkan bagi memberi perlindungan vaksinasi kepada sekurang-kurangnya 50,000 anjing setiap tahun.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.